Program pencarian bakat baru Joe Wings War of Bands (JWWOB) mendapat sambutan luar biasa walaupun saringan pertama belum bermula.

Sehubungan itu pengasas program JWWOB gitaris kumpulan Wings, Joe atau nama sebenarnya Abdul Zamin Abdul Kadir, 47, mengambil keputusan untuk melanjutkan tempoh pendaftaran pertandingan tersebut.

Joe berkata, tempoh pendaftaran dilanjutkan bagi membolehkan lebih ramai pihak mendaftar sebelum melayakkan diri ke peringkat saringan dalam mencari 10 kumpulan terbaik untuk dijadikan protege.

"Sambutan di luar jangkaan terhadap program ini sangat mengejutkan kerana saringan pertama pun belum bermula.

“Ramai yang mahu tempoh pendaftaran dilanjutkan dan pihak penganjur telah bersetuju untuk mengubah tarikh saringan ke satu tarikh baru.

"Dalam masa sama, lebih ramai peserta berpotensi boleh mendaftarkan diri sebelum ke peringkat saringan," katanya kepada Astro Gempak.

Tambah Joe lagi, lanjutan tempoh pendaftaran itu juga dapat memberi ruang kepada mereka dalam mencari pelapis penyanyi dan pemuzik rock generasi baru.

"Kami sediakan platform ini kerana ingin mencari pelapis baru dan sambutan luar biasa daripada peminat bukti kita banyak bakat-bakat ingin mencuba nasib.

"Diharap dengan lanjutan tempoh pendaftaran akan lebih ramai tampil selain dapat memberi mereka masa untuk bersedia sebelum ke peringkat saringan," katanya.

Dalam pada itu, Joe memberitahu peserta terpilih akan dibimbing secara profesional dan 10 kumpulan terbaik akan dipilih untuk menghasilkan sebuah album dibawah pengawasan dan terbitan Joe sendiri.

Selain juara sebagai sebuah kumpulan, mereka juga mencari gitaris, bes, vokalis termasuk pemain dram terbaik dan ganjaran menarik menanti peserta.

Terdahulu saringan bagi mencari 12 peserta akhir akan diadakan di tiga lokasi iaitu Johor Baru pada 31 Ogos, Taman Pameran Pertanian Malaysia (MAEPS) Serdang (16 September) dan Ipoh (1 Oktober).

Tarikh baru tersebut adalah Johor Baru pada 5 November, Ipoh (12 November) dan Kuala Lumpur (19 November).

Manakala peringkat akhir akan diadakan di tempat letak kereta, MAEPS Serdang pada 26 November depan.

JWWOB bakal diadili barisan juri profesional seperti Hillary Ang, Awang (Bumi Putra Rockers), Oney (Lipan Bara dan May), Mus (May) dan Edrie Hashim (Projek Pistol).

Juara pertandingan bakal menerima wang tunai RM5,000 manakala naib juara, RM3,000 dan tempat ketiga RM1,500.

Kesemua pemenang juga bakal menerima pakej percutian ke Pulau Tioman untuk tiga hari dua malam di Marina Bay Resort & Restaurant.

Hadiah untuk gitaris, bes, vokalis dan pemain dram terbaik akan menerima sumbangan daripada JS Music.

Untuk maklumat lanjut mengenai pertandingan berkenanaan boleh melayari www.tioevent.com/jwwob atau Facebook Joe Wings Protege.