Penyanyi Siti Nordiana menafikan dirinya menggunakan populariti dua aktor, Fikry Ibrahim dan Alvin Chong untuk mendapatkan tontonan tinggi bagi muzik video single terbarunya, Hatiku Milikmu.

Wanita yang mesra disapa dengan panggilan Nana ini menganggap istilah menggunakan populariti tidak wujud dalam konteks pekerjaan yang dilakukan olehnya.

"Alhamdulillah, semenjak ia dimuat naik di laman YouTube pada 2 April lalu, muzik video saya sudah mendapat lebih 1.4 juta tontonan.

"Saya rasa tak wujud isu menggunakan populariti kerana kami hanya saling membantu antara satu sama lain. Saya senang bekerjasama dengan Fikry dan Alvin kerana pernah berlakon dengan mereka.

"Apabila pengurus saya menyunting mereka untuk terlibat dalam muzik video ini, Fikry dan Alvin tidak membantah serta segera bersetuju dengan tawaran terbabit.

"Saya selesa dan senang bekerjasama dengan mereka. Saya rasa lebih mudah jika kita berkolaborasi dengan rakan-rakan sendiri," kata Nana.


Tambah pelantun lagu Terus Mencintai ini, dia juga berterima kasih kepada Fikry dan Alvin yang turut membantu mempromosikan muzik video Hatiku Milikmu.

"Saya juga rasa berterima kasih kepada mereka berdua kerana turut mempromosikan muzik video saya. Peminat Fikry dan Alvin turut memberikan sokongan penuh terhadap penglibatan artis kesayangan mereka dalam muzik video terbabit.

"Terima kasih kepada peminat saya serta peminat Fikry dan Alvin yang tak henti menyokong Hatiku Milikmu," katanya ketika ditemui di sidang media ‘Just Us - Alif Satar & Siti Nordiana’ Live Concert in Singapore di Timbre, Jalan Doraisamy, Kuala Lumpur semalam.

BACA: Nana & Alif Muncul Dengan Lagu Duet Ciptaan Faizal Tahir

Menerusi konsert tersebut, Nana dan Alif Satar bakal menghiburkan peminat di Singapura pada 31 Ogos dan ia dianjurkan oleh Adi Media Ptd Ltd.

Tiket konsert yang berlangsung di Shine Auditorium Shaw Tower Singapore ini dijual pada harga SGD48, SGD78 dan SGD148 (termasuk sesi meet and greet).

Pembelian tiket early bird sehingga 20 Mei ini bakal mendapat diskaun sebanyak 10 peratus dan boleh dibeli menerusi laman web www.rosevalley.sg

Teks oleh: Kamaruddin Razal
Foto: Instagram Nana