Pendatang baru dalam dunia lakonan, Dee Alhadi berkongsi pengalamannya membintangi drama bersiri online, 3 Gadis Manis (3GM) musim kedua.

Dee atau nama sebenarnya, Sharifah Nordiana Maihan Syed Shaikh, 26, dikenali menerusi lakonannya dalam iklan raya popular, Dugaan Raya Aida.

BACA: Masih Ingat Dengan Bintang Iklan Dugaan Raya Aida? Dee Alhadi Kini Bergelar Pelakon Drama Bersiri!

Menerusi 3GM, Dee memegang watak sebagai Mar dan bergandingan dengan pelakon lain seperti Hannah Delisha, Yaya Zahir, Aedy Ashraf dan Fahad Iman.

"Apabila mendapat tawaran untuk menjayakan drama bersiri ini, saya bertanya kepada diri sendiri, adakah perkara ini memang benar-benar terjadi kerana dalam senarai pelakon 3GM, hanya saya seorang sahaja yang tak dikenali oleh orang ramai.

"Hannah mempunyai ramai pengikut di laman Instagram, Yaya dikenali sebagai pengacara dalam program HLive, Aedy dan Fahad memang dikenali sebagai pelakon.

"Sepanjang penggambaran, Hannah dan Yaya banyak membantu saya dalam menjayakan watak Mar. Mereka sangat mesra dan tidak kekok memberi tunjuk ajar kepada pendatang baru seperti saya," kata Dee.

Tambah Dee, dia sering berdiskusi dengan pelakon lain sebelum memulakan sesuatu babak.

"Sebelum mula berlakon dan menjayakan sesebuah adegan, kami berbincang terlebih dahulu. Proses ini agak baru bagi saya dan semuanya bekerja sebagai satu kumpulan.

"Sebelum ini, saya mengenali Fahad dan kami pernah berbalas mesej di laman Instagram selepas iklan raya saya dikenali ramai.

"Saya juga meminati Aedy dari zaman kanak-kanak dan saya menonton lakonan serta mengikuti kerjayanya semenjak filem Tentang Bulan.

"Akhirnya 3GM menemukan saya dengan Fahad dan Aedy serta memperkenalkan saya dengan Hannah dan Yaya. Saya sangat gembira dapat meraih peluang bekerja dengan mereka," katanya lagi.

3 Gadis Manis musim kedua merupakan karya digital kompak terbitan portal Gempak menerusi segmen Gempak Original Series dan menampilkan lakonan Hannah Delisha, Yaya Zahir, Dee Alhadi, Aedy Ashraf dan Fahad Iman.

Diarahkan oleh Junad M.Nor dan dibantu oleh Nadirah Zakariya, 3 Gadis Manis musim kedua yang diharumkan oleh NIVEA bersiaran sebanyak tujuh episod menerusi platform digital di www.3gadismanis.com.my dan aplikasi Gempak bermula 9 April ini.

Teks oleh: Kamaruddin Razal
Foto: Instagram Dee