Sikap karyawan filem yang hanya fokus pada satu bidang kerja semata-mata antara faktor yang dikenal pasti menyumbang kepada kegagalan filem tempatan yang dihasilkan.

Penasihat Akademik, Kuala Lumpur Film School, Dr Khairulfazi Saari berpandangan seseorang penggiat seni itu perlu mempunyai pelbagai kebolehan dan ilmu untuk memastikan filem yang dihasilkan adalah terbaik.

"Sebenarnya, seseorang itu kena 'multitasking'. Jika dia seorang pengarah, dia juga perlu tahu aspek penulisan skrip termasuk bagaimana memasarkan produknya apabila sudah siap," katanya kepada Astro Gempak.

Ujarnya, filem yang bagus dan menarik untuk ditonton adalah suatu yang subjektif untuk ditafsirkan tetapi karyawan filem disarankan untuk terus berlajar menimba ilmu dan mempunyai kelulusan dalam sijl mahupun ijazah.

"Banyak karyawan filem yang masih dalam bidang komersial terdiri daripada mereka yang ada latar belakang pendidikan secara formal," katanya.

Jelasnya, pembikinan sebuah filem bukan hanya fokus pada satu subjek seperti pengarahan dan penulisan skrip.

Malah, filem yang bagus umpama satu pasukan bola sepak yang mempunyai semua pemain yang handal bermain dalam posisi masing-masing.

"Saya percaya filem yang bagus, orang lain termasuk dari wakil festival filem antarabangsa akan mencari filem itu.

"Filem yang bagus walaupun subjektif tapi kena ada 'measurement'. Malah, karyawan filem juga patut memberi peluang pada budak baru yang belajar untuk bekerja kerana mereka mempunyai komitmen yang tinggi untuk berkarya," katanya.

Teks oleh: Elrafaei Sapi

Foto: Facebook - Kuala Lumpur Film School