Penyanyi Siti Nordiana, 34, dan Alif Satar, 28, muncul dengan sebuah lagu duet yang berjudul Sebenarnya.

Paduan suara wanita yang disapa sebagai Nana dan Alif ini dicipta oleh Faizal Tahir, Mike Chan, Ezra Kong dan Romeo.

“Setelah kami bergandingan dalam drama bersiri dan teater muzikal, kini kami bergandingan dalam sebuah lagu duet pula. Lagu ini baru sahaja dirakamkan beberapa minggu lalu.

“Lagu ini merupakan kolaborasi istimewa kami dan dijadikan hadiah kepada peminat setia yang menyokong gandingan kami semenjak drama bersiri Dia Semanis Honey,” kata Nana.

Menurut Alif, ini merupakan kerjasama kedua dengan Faizal selepas lagu Sesungguhnya Aku.

“Saya masih ingat setahun lalu, selepas saya merakamkan lagu Sesungguhnya Aku, Faizal berkata yang Nana ada menyuarakan hasrat meminta lagu duet untuk kami.

“Akhirnya, kami dapat merealisasikan kerjasama ini. Insya-Allah, lagu ini bakal menjadi lagu tema untuk drama bersiri Klik! Pengantin Musim Salju yang kami lakonkan,” katanya ketika ditemui sidang media ‘Just Us - Alif Satar & Siti Nordiana’ Live Concert in Singapore di Timbre, Jalan Doraisamy, Kuala Lumpur sebentar tadi.



Menerusi konsert tersebut, Nana dan Alif bakal menghiburkan peminat di Singapura pada 31 Ogos dan dianjurkan oleh Adi Media Ptd Ltd.

“Kami membawa Nana dan Alif kerana percaya dengan kebolehan mereka serta bagi memenuhi impian peminat Singapura yang mahukan gandingan mereka atas satu pentas,” kata Dian Rasid selaku Pengarah Urusan Adi Media.

Tiket konsert yang berlangsung di Shine Auditorium Shaw Tower Singapore ini dijual pada harga SGD48, SGD78 dan SGD148 (termasuk sesi meet and greet).

Pembelian tiket early bird sehingga 20 Mei ini bakal mendapat diskaun sebanyak 10 peratus dan boleh dibeli menerusi laman web www.rosevalley.sg

Teks oleh: Kamaruddin Razal
Foto: Instagram Alif & Nana