Bintang cemerlang Gema Gegar Vaganza 2 (GGV2), Fitri Haris menceritakan kisah sebenar yang terjadi sepanjang persembahan lagu Di Pondok Kecil pada konsert keempat Sabtu lalu.

Kata Fitri, dia mendapat ilham untuk menjayakan konsep persembahan lagu itu selepas menunaikan solat Maghrib hari konsert.

"Semua idea itu datang pada petang sebelum persembahan. Saya jumpa penyanyi solo (Hazury) pada pukul 5 petang dan hanya sempat berlatih sekali sahaja.

"Kemudian, ilham untuk berkaki ayam dan berkain pelikat datang selepas solat Maghrib. Saya mahu berada di atas pentas dalam keadaan serendah-rendahnya dan berzuhud sebagai hamba.

"Manakala, baju pun saya beli last minit di Masjid India.

"Keranda pula siap 4 jam sebelum konsert. Jadi, saya respek semua krew di belakang tabir yang banyak menolong saya merealisasikan idea saat akhir saya setiap minggu," dedah Fitri.

Fitri sekali lagi menyentuh hati seisi dewan dengan persembahan mendayu-dayu lagu Di Pondok Kecil (Nada Murni) bersama lantunan vokal dari peserta Ceria Megastar, Hazury.

"Saya tak perasan satu dewan menangis tapi saya ada rasa terutama apabila Hazury menyanyikan lagu itu dengan indah sekali dan sangat mendayu-dayu," katanya.

Selain itu, Fitri memberitahu dia telah memotong 60 peratus lirik asal lagu itu bagi memberikan makna dan jalan cerita lebih jelas kepada penonton.

Persembahan penuh syahdu itu meletakkan Fitri di kedudukan teratas pada konsert GGV2 minggu keempat.

GGV2 bersiaran secara langsung dari Dewan Sri Putra, Bukit Jalil pada setiap Sabtu, pukul 9.00 malam serta boleh ditonton di Astro Oasis (saluran 106) dan Astro Maya HD (saluran 135).

Konsert minggu kelima GGV2 bakal membawa tema Bergabung Bergema dan 8 bintang masih kekal berentap untuk merebut gelaran juara.

Jika anda terlepas menonton konsert minggu GGV2, mahu melihat kembali video-video persembahan GGV2 atau ingin mendapatkan segala informasi mengenai GGV2, klik ---> GemaGegarVaganza.

Teks oleh: Amri Hassan