Penyanyi Syamel mendedahkan dia turut mendapat tawaran untuk menyanyikan lagu daripada komposer dari Indonesia.

Namun, Syamel terpaksa mempertimbangkan tawaran itu dan menolak tawaran tersebut.

"Dia hantarkan saya beberapa buah demo untuk saya dengar namun lagu-lagu itu berentak balada dan sedih.

"Kalau boleh saya mahu pelbagaikan muzik saya dan mencari lagu-lagu yang lebih rancak pula misalnya untuk dipersembahkan dalam majlis perkahwinan," jelas Syamel

Syamel bagaimanapun menegaskan dia tidak terlalu cerewet untuk memilih lagu dan sentiasa terbuka menerima lagu daripada komposer luar.

"Saya terbuka dan memang teringin untuk berkolaborasi dengan komposer luar tetapi mungkin kekangannya daripada segi lagu dan citarasa," tambahnya.

Dalam perkembangan lain, Syamel dilantik menjadi juri program pencarian bakat Cover Star ERA 2018 dan sudah memilih tiga finalis untuk berentap pada pusingan akhir Jumaat depan.

Tiga finalis itu ialah Muhammad Qaidzul Zainal Abidin, Mohd. Fairudzi Roslee dan Wan Nur Najihah Mohammed Akhir.

Teks oleh: Amri Hassan
Foto: @syamel_official