Pengarah filem Malaysia yang mencipta nama di Australia, Rizal Halim mengakui bukan mudah untuk memasarkan filem sendiri untuk tayangan di pawagam tempatan selepas mendakwa wujud sikap pawagam yang tidak profesional.

Rizal mendedahkan pengalamannya ketika mahu menayangkan filem sulungnya, Lurking Woods di beberapa pawagam tempatan di sini pada tahun lalu mendapat sambutan dingin sehingga memberi impak pada sambutan penonton.

"Saya boleh katakan di sini, filem saya tidak mendapat sokongan. Filem Lurking Woods hanya mendapat tayangan di 10 pawagam," katanya kepada Astro Gempak.

Nyata, dia sangat kecewa dengan 'permainan' pawagam sehingga sanggup meletakkan poster filemnya itu di kawasan terceruk dan ditayangkan di pawagam terpencil.

Mengambil pengalaman buruk itu, Rizal kini mengambil sikap lebih berhati-hati untuk tayangan filem keduanya, Tainted Getaway yang akan ditayangkan terlebih dahulu di Australia pada tahun depan.

Berkongsi pengalaman sebagai pengarah filem, Rizal memberitahu dia sentiasa meletakkan diri sebagai penonton bukannya pengarah dalam menghasilkan sesuatu filem agar ia lebih menghiburkan.

Teks oleh: Elrafaei Sapi

Foto: Facebook - Rizal Halim