Kehadiran artis jemputan seperti Tomok bersama Erra Fazira, Datin Paduka Umie Aida dan Black untuk persembahan minggu kelima, Bocey & Friends Live baru-baru ini nyata menggamatkan suasana dengan aksi jenaka mereka yang cukup menghiburkan.

Bekas vokalis kumpulan New Boys ini memberitahu dia turut terhibur dengan persembahan lawak pentas bersama Bocey meskipun pertama kali berlakon di pentas lawak.

"Saya berterima kasih pada Bocey atas peluang ini lagipun saya pertama kali buat lakonan macam ini," katanya kepada Astro Gempak.

Tambahnya, latihan bersama yang dijalankan Tomok dengan Bocey banyak membantu persembahan mereka nampak lebih menyakinkan.

"Dialog kami pun spontan dan sokongan daripada mereka bagi input yang bagus pada saya kerana mereka berpengalaman dalam bidang ini manakala saya tiada pengalaman jadi memang agak gementar.

"Alhamdulillah dengan adanya latihan sejak semalam dan hari persembahan, kami masih berlatih," katanya.



Katanya, latihan antara mereka sangat penting untuk memastikan persembahan lebih menarik.

"Secara tidak langsung cerita ini juga mempunyai nilai positif pada orang ramai dan saya rasa kami dapat sampaikan pada masa itu," katanya.

Secara peribadi, Tomok berpandangan dia menghormati hasil kerja Bocey yang dianggap sangat profesional dan bagus.

"Saya doakan yang terbaik untuk Bocey yang juga rakan-rakan saya," katanya.

Pada penonton, jangan lupa saksikan Bocey & Friends Live yang disiarkan pada setiap Jumaat jam 10 malam di Astro Warna and Warna HD.

Persembahan komedi pentas ini dibawakan oleh CIMB.

Teks oleh: Elrafaei Sapi

Foto: Astro Gempak