"Tiba-Tiba Suara Serak, Tersekat-Sekat, Lidah Kering"- Farah Asyikin

23 April 2018. 2.00 PM
3,863
Hiburan

Konsert keempat Gema Gegar Vaganza 2 (GGV2) menyaksikan Farah Asyikin menjadi bintang ketiga tersingkir.

Bagaimanapun, penyanyi yang popular dengan lagu Kembali Lagi Disisimu itu mendedahkan perkara aneh terjadi kepadanya sepanjang hari menjelang konsert.

"Sepanjang hari saya langsung tidak rasa cuak atau gementar, saya banyak tersenyum dan ketawa.

"Kemudian ketika atas pentas tiba-tiba tekak saya rasa perit, suara saya menjadi serak dan tersekat-sekat. Lidah pula rasa kering.

"Mungkin itu petanda bahawa takdir saya bersama GGV2 sampai setakat ini sahaja," katanya kepada Astro Gempak.

Farah bagaimanapun memanjatkan rasa syukur atas peluang yang diberikan kepadanya hingga ke konsert keempat GGV2.

"Saya berjumpa ramai kawan yang hebat termasuk Ippo Hafiz dan Rabithah. 

"Apa yang saya minta selama ini Allah sudah makbulkan dan saya sendiri masih tidak percaya mampu berada di pentas GGV2 dan kembali menyanyi selepas 10 tahun berehat," ujarnya.

Farah menyanyikan lagu Insha-Allah (Maher Zain) menjadi bintang ketiga tersingkir selepas Ippo Hafiz dan Rabithah.

Manakala, Fitri Haris yang melantunkan lagu Di Pondok Kecil (Nada Murni) dengan penuh beremosi mengungguli kedudukan teratas konsert keempat GGV2.

GGV2 bersiaran secara langsung dari Dewan Sri Putra, Bukit Jalil pada setiap Sabtu, pukul 9.00 malam serta boleh ditonton di Astro Oasis (saluran 106) dan Astro Maya HD (saluran 135).

Konsert minggu kelima GGV2 bakal membawa tema Bergabung Bergema dan 8 bintang masih kekal berentap untuk merebut gelaran juara.

Jika anda terlepas menonton konsert minggu GGV2, mahu melihat kembali video-video persembahan GGV2 atau ingin mendapatkan segala informasi mengenai GGV2, klik ---> GemaGegarVaganza.

Teks oleh: Amri Hassan
Foto: @maestromediamy, @farahasyikin.fa

Artikel Berkaitan