Pelakon tinggi lampai, Sherry Ibrahim, 35, menyangkal dakwaan dia membuka perniagaan kerana dirinya sudah tidak laku dalam dunia lakonan.

Pemilik nama penuh Syarizad Ibrahim ini sedang sibuk mengusahakan dua produk iaitu Deeja Cosmetics dan Sherry Scarves.

“Bukan kerana tak laku atau pun sebaliknya. Saya masih menerima banyak tawaran seperti biasa. Tetapi saya banyak menolaknya kerana kekangan masa. Saya agak sibuk dengan komitmen dalam perniagaan.

“Saya juga mencari karakter bersesuaian dengan penampilan saya yang sudah berhijab. Tak semestinya saya buka bisnes kerana saya tak laku.

“Saya perlu seimbang dalam dua bidang ini untuk membina jenama sendiri dan mempersiapkan diri bagi kemudahan masa hadapan. Jika tawaran lakonan itu datang dan menepati jadual kerja, pastinya akan saya penuhi,” kata Sherry.

Sibuk dengan perniagaan, Sherry menggunakan cara tersendiri iaitu sering turun padang untuk bertemu dengan pelanggan dan peminat.

“Saya sibuk kerana saya sering turun padang untuk bertemu dengan pelanggan. Saya percaya yang kebanyakan orang membeli produk kecantikan dan hijab keluaran saya kerana nama ‘Sherry Ibrahim’ itu sendiri.

“Saya mahu memenuhi kehendak mereka dengan mendekatkan diri dengan peminat serta pembeli. Selain itu, saya juga gemar bertanyakan mengenai maklum balas yang saya dapat berkenaan dengan produk saya.

“Bagi saya, kepuasan pelanggan harus diutamakan dan lerkara tersebut penting untuk pebambahbaikan di masa akan datang,” katanya lagi.

Teks oleh: Kamaruddin Razal
Foto: Instagram Sherry