Pelakon yang sedang mendaki puncak populariti, Syafiq Kyle mengakui dirinya tidak terlalu memilih dalam mencari wanita yang mahu dijadikan teman hidup.

“Sejujurnya, saya tak memilih. Kriteria wanita idaman saya mudah sahaja, biarlah sedap mata memandang dan menyenangkan hati saya. Itu sahaja.

“Usia juga tak memainkan peranan. Jika sampai jodoh, saya tidak mahu tunggu dan terus sahaja berkahwin. Buat masa kini, saya masih solo dan tidak mengenali sesiapa.

“Biarlah saya memberikan fokus kepada kerjaya dan mengukuhkan nama dalam bidang hiburan,” kata Syafiq.

Ditemui di majlis pelancaran tiga produk miliknya di Hotel Royale Chulan Kuala Lumpur baru-baru ini, Syafiq mahu menceburi cabang bisnes sebagai persediaan masa hadapan.

“Saya melancarkan tiga produk bawah jenama sendiri iaitu laman sesawang rasmi www.syafiqkyle.com, produk kecantikan beauty mask yang diberi nama Kylez Lab dan koleksi pakaian kurta raya iaitu Kylez By Syafiq Kyle.

“Saya bukan mahu bersaing dengan sesiapa, tetapi langkah menceburkan diri dalam bidang perniagaan ini merupakan satu persediaan untuk masa hadapan.

“Saya mahu berusaha lebih keras dalam bidang lakonan serta membuka ruang baru dalam bidang perniagaan,” katanya lagi.

Teks oleh: Kamaruddin Razal
Foto: Instagram Syafiq