Penyanyi Siti Sarah Raissuddin mempercayai kebolehan suaminya, pelawak Shuib Sepahtu mencipta single terbarunya yang berjudul Semakin.

“Saya percaya dengan kebolehan Shuib kerana dia mempunyai selera muzik yang tersendiri dan jenis muzik yang disukai Shuib berbeza dari saya.

“Dia banyak mendengar muzik Indonesia dan menggemari penyanyi di sana. Kadang-kadang, saya sendiri tak pernah dengar jenis muzik yang digemari oleh Shuib.

“Selain itu, pengalaman yang Shuib dapat sewaktu bergelar penyampai radio SINAR juga banyak membantu. Shuib tahu pasaran muzik dan mempunyai informasi mengenai jenis muzik yang digemari pendengar,” kata Sarah.

Muncul dengan lagu baru selepas hampir tujuh tahun tidak keluar dengan sebarang single, Sarah berharap lagu Semakin mendapat tempat di hati peminat.

“Sejujurnya, saya rasa gementar menanti penerimaan orang ramai mengenai buah tangan terbaru saya.

“Tujuh tahun bukan satu masa yang sekejap. Saya juga mengambil masa untuk muncul dengan single terbaru kerana saya bersikap cerewet.

“Banyak lagu yang saya tolak kerana tidak sesuai dengan jiwa dan citarasa saya. Apabila merakamkan lagu Semakin, saya yakin lagu ini merupakan lagu yang sesuai.

“Saya berharap agar peminat menerima single terbaru saya dengan gembira kerana saya meletakkan sepenuh usaha terhadap lagu baru ini untuk dijadikan hadiah istimewa kepada peminat,” katanya lagi.

Sempena pelancaran lagu Semakin, Sarah bakal mengadakan mini showcase di Matic Kuala Lumpur pada 6 Julai nanti.

Sarah bakal mempersembahkan rangkaian 12 sehingga 15 lagu dalam masa lebih satu jam dan menggunakan khidmat Faizal Uzir selaku pengarah muzik.

Tiket berharga RM98 dan RM138 (VIP) sudah boleh ditempah menerusi talian 018-3564291.

Teks oleh: Kamaruddin Razal
Foto: Instagram Sarah