Pengarah filem terkenal, Ahmad Idham Ahmad Nadzri berpandangan Anugerah Personaliti Industri Usahawan Malaysia 2018 yang diterimanya pada malam tadi menjadi pembakar semangat untuk dirinya terus berjuang dalam industri perfileman tempatan.

Beliau yang cukup dikenali dalam kalangan penggiat seni sebagai individu yang lantang bersuara dalam memperjuangkan pelbagai isu dalam bidang filem dan hiburan mengakui pengiktirafan baru kali ini suatu yang sangat bermakna pada dirinya.

"Apabila menerima anugerah dari orang luar bukan dalam industri hiburan ini, mungkin menjadi petanda yang menjawab persoalan saya selama ini berjuang dalam industri yang seringkali menerima kecaman dan tiada sokongan," katanya kepada Astro Gempak.

Tambahnya, pengiktirafan ini memberi makna dia melakukan perjuangan yang benar.

"Ini juga adalah bukti sama ada apa yang saya lakukan selama ini betul atau tidak atau was-was.

"Hari ini kita harus melahirkan lebih ramai pejuang industri untuk kemajuan bidang seni dan menghapuskan permainan kroni yang selama ini kita tahu," katanya.

Secara peribadi, Ahmad Idham berpandangan industri perfileman tanah air sudah bersih tapi masih wujud segelintir pemain industri yang bertindak 'mengotorkannya'.

"Pesan saya, jangan takut memperjuangkan kebenaran," katanya.

Teks oleh: Elrafaei Sapi

Foto: IG @ahmad_idham