Kumpulan K-Pop popular, TWICE bakal hadir ke sini untuk mengadakan konsert di Malaysia.

Twice yang dibentuk menerusi program realiti survival, Sixteen pada tahun 2015 ini bernaung di bawah syarikat pengurusan JYP Entertainment.

Sebelum dipilih okeh juri profesional, mereka telah diuji, diasah bakat menyanyi, menari dan kebolehan tersendiri dalam tempoh dua bulan.

Mereka secara rasminya debut sebagai TWICE pada Oktober 2015.

Single pertama mereka, Cheer Up terus mencuri perhatian peminat dan lagu itu berjaya mengungguli carta-carta utama Korea seperti Naver, Melon, Mnet dan Soribada.

Bukan itu sahaja, Cheer Up merangkul gelaran "Song Of The Year Tahun pada Anugerah Muzik Mnet Asia dan Anugerah Muzik Melon 2016.

Twice dianggotai oleh sembilan orang gadis cantik dan berbakat iaitu Nayeon, Jeongyeon, Momo, Sana, Jihyo, Mina, Dahyun, Chaeyoung, dan Tzuyu.

Selepas 'Cheer Up', kumpulan ini muncul dengan beberapa lagi lagu hit seperti Knock Knock, TT, Likey, Signal dan terbaru What Is Love.



Dengan bertemakan fantasi, TWICE bakal membawa ‘taman fantasi’ mereka di Malaysia pada 28 Julai depan.

Dianjurkan oleh IME, konsert diberi nama TWICELAND Zone 2- Fantasy Park itu akan berlangsung di Stadium Malawati, Shah Alam bermula jam 8.30 malam.

Tiket akan mula dijual pada 21 April ini bermula jam 11 pagi hingga 3 petang bertempat di ruang legar tingkat bawah pusat membeli belah Galeri Gallery (Atria Shopping Gallery).



Manakala untuk jualan atas talian KSTAR (www.kstar.tv) pula dibuka pada hari yang sama bermula jam 3 petang sehingga 22 April (sehingga jam 3 petang).

Hanya 500 tiket sahaja yang akan dijual menerusi laman sesawang ini.

Peminat juga boleh membeli tiket menerusi TicketCharge bermula 21 April jam 9 malam dengan di www.ticketcharge.com.my.

Maklumat lanjut layari, IME Asia (Facebook), IMEMalaysia (Twitter), ime_asia (Instagram), IME Productions (Wechat), IME Malaysia (Line).

Teks oleh: Kamaruddin Razal