Peserta Akademi Fantasia (AF) musim ke-9, Mohammad Azri Abdullah dipenjara 14 hari dan denda RM5,000 oleh Mahkamah Sesyen Petaling Jaya sebentar tadi kerana mendera anak perempuan tirinya.

Dia dituduh mencelup kedua-dua tangan anak tirinya itu ke dalam air panas sehingga dimasukkan ke wad selama 19 hari kerana kecederaannya serius.

Hakim Norshila Datuk Kamaruddin menjatuhkan hukuman itu terhadap Azri, 31, yang kini berniaga kek dan pastri, selepas dia menukar pengakuan kepada bersalah pada hari pertama perbicaraan kesnya semalam dan mahkamah menetapkan hari ini untuk menjatuhkan hukuman.

Mahkamah memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara itu bermula hari ini dan turut memerintahkan lelaki itu dipenjara enam bulan jika gagal membayar denda.

Sejurus selepas mahkamah menjatuhkan hukuman, ibu Azri, isteri, anak-anaknya termasuk mangsa serta kakaknya yang berada di galeri awam terus meluru ke kandang tertuduh untuk memeluk Azri.

Manakala ibunya yang hampir pitam meraung-raung sambil menarik tertuduh sebelum ditenangkan anggota polis.

“Nanti orang pukul, nanti orang pukul dia. Jangan pergi! Jangan! Dia nak siapkan sekolah anak, dia mandikan anak, dia bagi anak makan! Orang tak tahu!,” jerit wanita itu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun atau denda atau kedua-duanya.

Mengikut fakta kes, ketika kejadian mangsa yang ketika itu berumur sembilan tahun tidak mengaku mengambil coklat menyebabkan tertuduh mengambil sebuah periuk yang berisi air panas dan mencelup kedua-dua belah tangan anak tirinya itu.

Kejadian tersebut berlaku di sebuah pangsapuri di Seksyen 9, Subang Jaya, pada 8 pagi, 5 Mei 2016.

Azri dan Salma berkahwin pada 31 Jan 2015 dan mereka dikurniakan seorang cahaya mata perempuan.

Salma juga mempunyai dua anak iaitu mangsa dan seorang anak lelaki menerusi perkahwinan terdahulu.

Sumber: Bernama, Mstar
Olahan oleh: Kamaruddin Razal
Foto: Carian Google