Penyanyi Sufian Suhaimi mengakui ada peminat wanita yang pernah menawarkan diri untuk menjadi teman wanitanya.

Namun, tawaran itu dianggap sebagai satu jenaka dalam kalangan peminatnya sahaja.

"Saya akui memang ada wanita yang 'offer' untuk jadi teman wanita saya tetapi rasanya itu sekadar usikan peminat sahaja.

"Mungkin mereka mahukan saya rasa gembira, ceria dan rasa 'wanted'. Tidak ada yang serius pun.

"Fokus saya sekarang untuk kerjaya semata-mata dalam bidang muzik dan saya tak mahu perhubungan menjejaskan fokus saya sekarang," katanya kepada Astro Gempak.

Sufian sebelum ini pernah mengikat tali pertunangan dengan pelakon Elfira Loy pada Oktober 2017 bagaimanapun telah putus pada Februari lalu, sebulan menjelang hari pernikahan mereka.

Sufian yang kini sedang tular dengan lagu Di Mata Mu memberitahu sedang mencari material baharu untuk single selepas ini.

Dalam perkembangan lain, Sufian juga terbabit sebagai juri untuk pencarian bakat nyanyian Cover Star ERA 2018.

Seramai 10,000 penyertaan telah diterima dan Sufian hanya memilih tiga finalis terbaik untuk berentap pada pusingan akhir 27 April ini.

Teks oleh: Amri Hassan
Foto: @sufiansuhaimi_