Penganjur Tarik Diri, Nabil Ahmad Taja 3 Peminat Tunai Umrah

19 April 2018. 7.51 PM
3,619
Hiburan
Penganjur Tarik Diri, Nabil Ahmad Taja 3 Peminat Tunai Umrah
Pengacara dan pelawak Nabil Ahmad membuat keputusan untuk menaja pakej menunaikan ibadah Umrah buat tiga orang peminat selepas pihak penaja menarik diri.

"Tiga orang peminat itu sudah membayar wang pendahuluan sebanyak RM3,000 seorang kerana pihak penganjur hanya mahu menaja separuh daripada harga pakej Umrah.

"Malangnya, penganjur tidak dapat dikesan. Pelbagai cara cuba digunakan untuk menghubungi penganjur tetapi semua usaha yang dilakukan gagal.

"Saya memilih untuk berfikiran positif dan beranggapan penganjur tarik diri sahaja. Tidak mahu perkara ini berlanjutan, saya membuat keputusan untuk menaja mereka dan membayar sepenuh kos untuk tiga orang peminat saya menunaikan Umrah," kata Nabil.

Tambah pengendali rancangan MeleTOP itu, dia menggalas tanggungjawab untuk memastikan tiga orang peminat itu selamat pergi dan kembali.

"Alhamdulillah, rezeki saya dalam bidang seni semakin murah. Tidak rugi jika saya memberi semula kepada mereka yang memerlukan sebagai salah satu cara berkongsi rezeki.

"Saya tak mahu bersikap tamak kerana saya percaya rezeki yang saya terima hari ini adalah atas sokongan dan doa peminat yang tidak putus-putus menyokong.

"Saya masih ingat, ketika saya menunaikan Umrah buat kali pertama dahulu, kos saya beribadah di Tanah Suci Mekah ditaja oleh sebuah syarikat.

"Masih segar di ingatan, pihak penaja tidak meminta sebarang balasan, cukuplah sekadar saya mendoakan kesejahteraan mereka di sana.

"Saya juga melakukan perkara yang sama, saya tak mahu sebarang balasan, saya cuma memohon doa kepada tiga orang peminat yang pergi ke sana agar segala urusan saya dipermudahkan," kata Nabil ketika ditemui di majlis prebiu buffet Ramadan di Me'nate Steak Hub, Shah Alam.



Me'nate menyediakan pelbagai hidangan istimewa sempena kedatangan bulan Ramadan dengan harga yang berpatutan iaitu RM79.90 untuk dewasa dan RM39.90 untuk kanak-kanak berusia 5 hingga 11 tahun.

Teks oleh: Kamaruddin Razal
Foto: Instagram Nabil

Artikel Berkaitan