Bintang realiti Akademi Fantasia, Syamel, menegaskan tindakannya menyusun semula lagu Perfect (nyanyian asal Ed Sheeran & Beyonce) untuk Anugerah MeleTOP ERA (AME2018) bukan untuk merosakkan lagu itu.

Jelas Syamel, dia masih mengekalkan originaliti lagu itu dan menambah baik beberapa bahagian untuk 'memperbesarkan' bunyi lagu tersebut.

"Saya tidak boleh nak puaskan hati semua orang, ada yang suka dan ada yang tidak suka.

"Namun, saya lebih selesa untuk melihat daripada pandangan positif pendengar dan penonton.

"Saya rasa tidak puas kalau saya dan Erni menyanyikan lagu itu dalam versi asal.

"Jadi, lagu itu cuma ditambah baik pada bahagian nyanyian Beyonce yang kurang 'challenging side' dan besarkan sedikit lagu itu untuk nampak variasi," jelas Syamel.

Gubahan semula lagu itu diputuskan sendiri oleh Syamel dan rakan duetnya, Erni Zakri.

Selepas persembahan bertenaga Syamel dan Erni pada AME2018 baru-baru ini, timbul kritikan dalam kalangan netizen yang kurang berpuas hati dengan kualiti nyanyian pasangan itu.

Malah, ada yang kurang bersetuju apabila lagu Perfect dinyanyikan dalam versi lain.

Dalam pada itu, Syamel yang dilantik sebagai juri Cover Star ERA 2018 telah memilih tiga finalis untuk berentap pada pusingan akhir Jumaat ini.

Mereka ialah Muhammad Qaidzul Zainal Abidin, Mohd Fairudzi Roslee dan Wan Nur Najihah Mohammed Akhir.

"Pemilihan ketiga-tiga mereka berdasarkan originaliti masing-masing dan tidak terikut-ikut dengan penyanyi asal. Mereka punyai cara tersendiri," katanya.

Teks oleh: Amri Hassan
Foto: @syamel_official