Kumpulan KRU mengumumkan akan membubarkan kumpulan itu setelah 25 tahun ditubuhkan sejurus persembahan konsert terakhir mereka pada 6 Mei ini.

Menurut anggota kumpulan KRU, Yusry menjelaskan mereka mengambil keputusan itu setelah mendapat kata sepakat daripada semua anggota yang lain iaitu Edry dan Norman.

“Alhamdulillah, setelah membuat perbincangan kami mengambil kata sepakat untuk membubarkan kumpulan ini setelah 25 tahun.

“Kami akan membubarkan kumpulan ini sejurus mengadakan konsert pada 6 Mei ini di Istana Budaya.

“Konsert itu merupakan persembahan terakhir kami bersama-sama sebagai sebuah kumpulan di atas pentas mengadakan persembahan.

“Selepas ini kami akan mengikut haluan hidup masing-masing dan lebih banyak meluangkan masa bersama keluarga.

“Ini kerana kami mempunyai rancangan tersendiri selepas ini kerana bagi kami cukuplah kami berada dalam industri selama 25 tahun ini,” katanya kepada Astro Gempak.

Yusri berkata demikian ketika ditemui pada majlis sidang media tergempar ‘Gergasi’ KRU, yang diadakan di Impiana Hotel KLCC, Kuala Lumpur, pada Rabu.

Konsert Gergasi KRU 25 akan diadakan pada 4 hingga 6 Mei ini di Istana Budaya.

Orang ramai yang ingin menyaksikan konsert Gergasi KRU 25 boleh mendapatkan tiket di www.kruarena.com.

Teks Oleh: Rozaimi Zubaidi