Penyanyi dan pengacara Siti Nordiana tidak terkilan apabila dituduh gagal mengacarakan program realiti islamik Gema Gegar Vaganza 2 (GGV2).

Bagi Nana, dia telah mencuba melakukan sehabis baik dan mengikut kehendak penonton yang mahukannya memperbaiki cara pengacaraannya sejak musim pertama.

"Saya buat apa yang orang nak, apabila terlalu 'loud' pun orang marah, terlalu berjaga-jaga pun orang kata hambar.

"Saya tak fahamlah dengan apa yang orang nak!" tegas Nana.

Pelantun lagu Terus Mencintai itu memohon agar netizen dan penonton usah terlalu gemar mencari kesalahan orang lain.

"Give me a break! Berikan saya masa dan ruang untuk belajar selok-belok dunia pengacaraan.

"Jangan terus menghukum saya atau pengacara lain yang baru menceburi bidang ini.

"Saya bukan lahir daripada dunia pengacaraan, jadi saya perlukan masa untuk belajar.

"Malah, setiap kali saya bertemu dengan pengacara lain seperti Faizal Ismail, Alif Satar dan Radin ERA, saya sendiri akan mendapatkan nasihat mereka," katanya.

Bagaimanapun, Nana tidak mengeluh atau terasa hati dengan teguran yang diberikan terhadapnya.

"Saya tak sentap pun sebab itu kerja saya, cuma saya belajar saya perlu jadi diri sendiri," tambah Nana.

Dalam perkembangan lain, Nana yang dilantik sebagai juri program Cover Star ERA 2018 telah memilih tiga finalis untuk berentap di peringkat akhir Jumaat ini.

GGV2 bersiaran secara langsung dari Dewan Sri Putra, Bukit Jalil pada setiap Sabtu, pukul 9.00 malam serta boleh ditonton di Astro Oasis (saluran 106) dan Astro Maya HD (saluran 135).

Konsert minggu keempat GGV2 bakal membawa tema Gema Yang Dirindukan dan 9 bintang masih kekal berentap untuk merebut gelaran juara.

Jika anda terlepas menonton konsert minggu GGV2 atau ingin mendapatkan segala informasi mengenai GGV, klik ---> GemaGegarVaganza.

Teks oleh: Amri Hassan
Foto: @sitinordiana