Ahli kumpulan Harimau Hipster, Ozlyn menegaskan tidak akan menyerahkan kalung imuniti yang dimenangi kepada ahli kumpulan Monyet Mafia.

Tambah Ozlyn lagi, dia nekad dengan keputusan tersebut walaupun yang tersingkir itu suaminya, Johan yang merupakan ahli pasukan lawan (Monyet Mafia).

“Saya sudah agak, mesti ramai yang meneka saya akan berikan kalung imuniti kepada Johan jika dia ditakdirkan tersingkir dari pentas Super Spontan kerana kalung itu tidak boleh diberikan kepada ahli kumpulan sendiri.

“Jujur saya katakan, perkara tersebut tidak adil kerana sudah dua ahli kumpulan saya tersingkir dan saya tidak boleh menyelamatkan mereka walaupun saya mempunyai kelebihan dalam kumpulan.

“Bagaimanapun, saya akur dengan peraturan ‘game’ ini dan semestinya akan menggunakan peluang yang dimiliki dengan bijak,” katanya kepada Astro Gempak.

Mengulas mengenai netizen yang melemparkan tuduhan negatif kepadanya dan Johan, Ozlyn berkata, dia tidak pernah peduli tentang perkara tersebut.

“Orang tidak suka kepada kita, itu adalah perkara biasa dan saya sedikit pun tidak terkesan dengan kata-kata negatif dilemparkan.

“Jika benar ada yang kata saya seorang yang suka menguasai permainan, rasanya itu tidak benar kerana saya hanya bermain dalam dua pusingan sahaja.

“Tetapi tidak mengapalah, saya sedikitpun tidak patah semangat untuk meneruskan permainan dalam Super Spontan. Lagipun saya di pentas untuk menghiburkan orang,” ujarnya.

Dalam pada itu, Ozlyn turut berterima kasih kepada Abam yang juga penolong kapten Harimau Hipster kerana banyak membantunya di dalam SS Superstar.

“Abam banyak bantu saya. Setiap kali rehearsal, dia akan beri tunjuk ajar untuk bermain dalam setiap permainan.

“Saya berterima kasih kepada Abam kerana tidak lokek berkongsi ilmu dan kepakarannya sebagai pemain ‘senior’.

“Suami saya kalau bantu pun sikit sahaja, mungkin dia takut tewas lagi dengan saya. Maklumlah kami kan ‘rival’,” katanya ketawa.

Ozlyn merupakan peserta pertama memenangi kalung imuniti SS Superstar selepas diumumkan sebagai pemain terbaik pada minggu ketiga.

Usaha Ozlyn untuk menyelamatkan Zulyn yang disingkirkan pada minggu lalu gagal apabila peraturan permainan menetapkan kalung imuniti tidak boleh digunakan kepada ahli kumpulan sendiri tetapi perlu diberikan kepada pasukan lawan.

SS Superstar bersiaran secara langsung dari Dewan Percubaan Universiti Putra Malaysia (UPM) pada setiap Jumaat bermula jam 10 malam dan ditayangkan serentak menerusi Astro Warna (saluran 132) dan Mustika HD (saluran 134).