"Itu Keluhan Saya, Bukan Body Shaming Sesiapa!" - Zaihani Zain

18 April 2018. 4.25 PM
6,241
Hiburan

Pengulas fesyen terkenal Zaihani Mohd Zain menjelaskan status entri Facebooknya yang tular di media sosial tidak ditujukan kepada sesiapa.

Zaihani sebaliknya menegaskan dia sekadar menyatakan keluhan tentang perkara yang terjadi kepadanya pada pertunjukan fesyen tersebut.

"Status Facebook saya itu satu keluhan tentang apa yang saya telah dan sedang lalui ketika acara berkenaan.

"Saya tidak menujukan status tersebut kepada sesiapa, menasihati atau menegur mana-mana pihak.

"Apatah lagi untuk mengutuk individu yang memiliki berat badan berlebihan. No body shaming!

"Saya berkongsi keluhan saya di Facebook dan berkongsi kepada kenalan rapat sahaja.

"Malangnya, status itu disalah ertikan dan disebarkan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab," katanya eksklusif kepada Astro Gempak.

Zaihani memberitahu, berat badan 60 kilogram itu ditujukan secara anggaran jisim badan lelaki yang duduk bersebelahan dengannya pada acara terbabit.

"Saya tidak pasti berat badan sebenar lelaki itu, 60 kilogram itu sekadar anggaran saya.

"Jadi, 60 kilogram itu sebenarnya satu penjelasan betapa besarnya saiz badan dia berbanding saya yang hanya 50 kilogram.

"Lelaki itu duduk terkangkang hingga mengganggu ruang duduk saya, jadi saya rasa kurang selesa.

"Untuk menegurnya pada waktu itu saya rasa kurang sesuai, jadi saya berkongsi keluhan itu di Facebook sahaja. Tidak sangka pula status itu disalah ertikan dan menjadi viral," tambahnya.

Zaihani tidak teragak-agak untuk menegur perbuatan itu sekiranya individu yang duduk bersebelahannya merupakan sahabat sendiri.

Situasi itu katanya sering berlaku setiap kali menghadiri acara besar seperti pertunjukan fesyen yang sepatutnya memerlukan tetamu untuk duduk dengan lebih tertib tanpa mengganggu keselesaan tetamu lain.

Kelmarin tular status Facebook milik pengkritik fesyen tersohor tempatan itu apabila dia dikatakan 'menasihati' individu yang memiliki berat badan melebihi 60 kilogram tidak sepatutnya menghadiri pertunjukan fesyen.

Baca: "Kalau Berat Lebih 60kg Tak Payah Datang Fashion Show, Paha Melimpah Kiri Kanan" - Pengulas Fesyen Kritik Tetamu Berbadan Besar?

Dalam perkembangan lain, Zaihani dilantik sebagai guru yang memantau kreativiti dan teknikal peserta dalam rancangan realiti pencarian bakat pereka fesyen tempatan, Gen F.

Gen F bersiaran setiap hari Rabu pukul 11 malam menerusi Astro Ria (104) dan Astro Ria HD (123).

Teks oleh: Amri Hassan
Foto: @zaihanimzain. InTrend, @_amstudio

Artikel Berkaitan