Pelakon dan penyanyi Sherry Ibrahim belum bersedia untuk mendedahkan identiti teman lelakinya.

Masih dalam fasa berkenalan, Sherry menyerahkan segalanya kepada ketentuan Allah.

“Saya ada mengenali seseorang tetapi hubungan itu masih di fasa perkenalan. Buat masa ini, saya tak mahu terburu-buru dan menyerahkan semuanya kepada ketentuan takdir.

“Saya rasa tak perlu untuk saya dedahkan identiti atau wajahnya kerana semuanya masih belum pasti. Saya ada dua kehidupan iaitu sebagai seorang selebriti serta kehidupan peribadi.

“Biarlah saya simpan dahulu perkara tersebut dan tak perlu dihebahkan. Insya-Allah jika ada jodoh dan bila sampai waktunya, saya pasti akan kongsi,” kata Sherry ketika ditemui di majlis hi-tea Deeja Cosmetic di Talent Lounge, Damansara Perdana pada Ahad.

Menerusi majlis tersebut, Sherry yang bertindak sebagai pengasas bersama berjumpa dengan stokis-stokis di sekitar Lembah Klang.

“Alhamdulillah, sudah tiga tahun saya jalankan perniagaan ini dan semuanya berjalan lancar. Banyak respon positif yang diterima dan saya gembira kerana perniagaan yang diusahakan makin maju,” katanya mengakhiri perbualan.

Teks oleh: Kamaruddin Razal
Foto: Instagram Deeja Cosmetic