Demi menghormati Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14), Konsert Radja Malaikat Cinta terpaksa ditangguhkan pada 14 Julai nanti.

Menurut vokalis kumpulan Radja, Ian, dia reda dengan penangguhan yang dilakukan dan bersedia memberikan persembahan terbaik pada konsert akan datang ini.

"Kami redha dengan keputusan yang dilakukan ini dan bersyukur kerana konsert ini cuma ditangguhkan dan bukannya dibatalkan.

"Sejujurnya kami tidak mempunyai sebarang masalah dan menghormati keputusan yang dilakukan untuk memberi laluan dahulu kepada PRU-14.

"Sekurang-kurangnya kami mempunyai masa lagi untuk melakukan persediaan dan promosi untuk menarik lebih ramai peminat yang hadir untuk konsert tersebut.

"Malaysia sudah merupakan rumah kedua kepada kumpulan Radja kerana kebanyakkan peminat kami berasal dari sini dan konsert ini merupakan hadiah kami kepada mereka," katanya kepada Astro Gempak.

Radja berkata demikian ketika ditemui pada majlis sidang media Konsert Radja Malaikat Cinta, di Restoran Rebung By Datuk Chef Ismail, Kuala Lumpur, pada Isnin.

Tiket Konsert Radja Malaikat Cinta mula dijual pada harga RM285, RM215, RM165, RM125 dan RM85.

Tiket-tiket boleh didapati di www.airasiaredtix.com secara dalam talian atau ada dijual di Rock Corner, The Garden Mid Valley, Victoria Music di Sg Wang dan Amcorp Mall dan di Artis Gallery, Gurney Plaza serta Queensbay Mall, Pulau Pinang.