Pengacara Gema Gegar Vaganza 2 (GGV2), Fikry Ibrahim memohon maaf sekiranya cara pengacaraannya tidak mampu memuaskan hati penonton.

Kata Fikry, dia menerima pandangan dan kritikan yang dilontarkan terhadapnya dan berjanji akan memperbaiki dari semasa ke semasa.

"Kalau itu salah saya, saya minta maaf. Terima kasih kerana sudi bagi pandangan jadi saya pun lebih peka dengan kehendak penonton.

"Tipu kalau saya cakap saya tidak terkesan dengan komen-komen negatif yang mengkritik pengacaraan saya sebab saya sudah melakukan sehabis baik.

"Tetapi, sekurang-kurangnya saya sedar diri bahawa ada orang yang tidak suka dengan cara saya," katanya kepada Astro Gempak.

Fikry sebelum ini dikritik dan dikatakan masih belum bersedia untuk mengemudi program sebesar GGV.

Baca: Bila Badrul Bicara: Keliru! Gema Gegar Vaganza Atau Sekadar Gegar Vaganza?

Malah, kredibilitinya dipertikaikan apabila finalis rancangan Lawak Solo itu kurang serius dan perlu lebih banyak ulangkaji.

"Setiap kali saya mengendalikan apa-apa acara, saya akan membuat homework.

"Kadang-kadang kami bertiga akan duduk berbincang selepas habis sesi rehearsal dan sejam sebelum bermula show," ujarnya.

Fikry sekali lagi digandingkan bersama juara Gegar Vaganza 2, Siti Nordiana dan pertama kali berkongsi pentas dengan juara GGV1, Fakhrul (UNIC).

GGV2 bersiaran secara langsung dari Dewan Sri Putra, Bukit Jalil pada setiap Sabtu, pukul 9.00 malam serta boleh ditonton di Astro Oasis (saluran 106) dan Astro Maya HD (saluran 135).

Konsert minggu keempat GGV2 bakal membawa tema Gema Yang Dirindukan dan 9 bintang masih kekal berentap untuk merebut gelaran juara.

Jika anda terlepas menonton konsert minggu GGV2 atau ingin mendapatkan segala informasi mengenai GGV, klik ---> GemaGegarVaganza.

Teks oleh: Amri Hassan
Foto: @fikryibrahim, @maestromedia