Kehadiran pelawak senior, Ebby Yus bersama Saiful Apek dalam persembahan minggu keempat Bocey & Friends Live! baru-baru ini membuktikan jenaka mereka masih relevan dengan penonton masa kini.

Ebby mengakui sebagai pelawak generasi lama dia amat gembira dengan peluang yang diberikan untuk beraksi dengan pelawak generasi baru.

"Saya mengikuti persembahan mereka sebelum ini. Mereka baru tapi mempunyai idea dan kemampuan yang hebat untuk menghiburkan peminat zaman sekarang," katanya kepada Astro Gempak.



Sejujurnya, Ebby mengambil peluang ini kerana percaya dengan kemampuan Bocey untuk bersama dalam aksi lawak di atas pentas.

"Saya tak boleh terlompat-lompat macam mereka kerana zaman saya sudah berlalu. Alhamdulillah, persembahan kali ini nampak seimbang, saya pun tak lebih tinggi daripada mereka dan mungkin mereka boleh lebih tapi ada rasa hormat pada saya untuk memberi ruang," katanya.

Sebagai pelawak senior, Ebby mengakui agak sukar mencari faktor keserasian dengan Bocey ketika persembahan.

"Itu perkara biasa lagipun ini pertama kali kami membuat persembahan bersama.

"Di luar kami biasa berbual tapi mungkin keserasian itu saya ambil dari luar, apabila di dalam mereka dah tak segan dengan saya, begitu juga saya tidak segan dengan mereka.

"Saya juga beri ruang pada mereka nak kutuk ke apa, buatlah macam biasa sesama mereka buat. Kalau ada 'gap' ia akan timbul masalah pada mereka dan saya tapi syukur malam ini ‘best’," katanya.

Tambahnya, pelawak lama kena terima hakikat apabila zaman sudah berlalu.

"Apa yang penting, biar orang tak ketawa tapi masih boleh layan dan tak kecam pelawak lama. Nak 'push' diri sendiri memang tak boleh sebaliknya, kita cuba masuk dan menyelami jiwa pelawak baru dan hati penonton," kataya.

Persembahan minggu keempat kali ini turut menyaksikan kehadiran Maya Karin dan Elfira Loy sebagai selebriti jemputan.

Pada penonton, jangan lupa saksikan Bocey & Friends Live yang disiarkan pada setiap Jumaat jam 10 malam di Astro Warna and Warna HD.

Persembahan komedi pentas ini dibawakan oleh CIMB.

Teks oleh: Elrafaei Sapi

Foto: Astro Gempak