Pelakon Fasha Sandha akui mengalami kecederaan di bahagian kaki ketika melakukan aksi lasak untuk drama terbaru lakonannya, Lara Aishah.

Menurut Fasha, dia mengambil keputusan melakukan aksi tersebut supaya lakonannya nampak semulajadi.

“Aksi lasak saya buat sendiri dan memang pukul betul-betul, kalau nak cerita apsal cedera memang tak payah kira sebab banyak.

“Bahagian kaki saya antara yang lebam, saya tak kisah sebab untuk jayakan sesuatu watak kadang-kadang kita perlu lakukannya.

“Sebenarnya untuk aksi lasak ada teknik dia untuk menampakkan seperti pukulan itu kena pada bahagian yang disasarkan, tetapi pengarah kata untuk drama ini kena pukul betul-betul untuk nampakkan aksi itu ‘real’,” katanya ketika ditemui pada sidang media drama bersiri Lara Aishah baru-baru ini.

Tambah Fasha atau nama sebenarnya Nur Fasha Sandha Hassan, 32, aksi tersebut tidak sukar untuk dilakukan kerana mempunyai asas seni mempertahankan diri, Muay Thai.

“Saya memang mempunyai asas Muay Thai, jadi untuk lakukan aksi sebegitu tidak menjadi masalah untuk saya.

“Nak kata saya ni hebat sangat dengan Muay Thai itu tidaklah, tetapi hanya sekadar ‘basic’ saja bolehlah dan syukur semuanya berjalan dengan lancar,” jelasnya.

Dalam pada itu bercerita mengenai Lara Aishah, Fasha memberitahu wataknya agak berlainan berbanding dengan drama-drama lakonannya sebelum ini.

“Watak ini sangat berbeza sebab watak ini memerlukan lebih mainan emosi yang sangat tinggi. Dia seorang gadis yang kasar dan memberontak.

“Dia sangat bencikan orang kaya dan merasakan semua orang kaya berhati hitam dan nak tindas orang miskin.

“Sebab itu saya kata watak ini perlukan emosi, bukan senang untuk bawa watak seperti ini. Jalan ceritanya juga amat menarik dan akan meninggalkan kesan di

hati penonton.

“Lepas dapat skrip, ambil masa sebulan untuk juga sebelum terima karakter ini. Saya bukan jenis yang bila dapat skrip terus terima, tidak.

“Saya jenis yang suka kaji dulu, baca, dan faham dengan watak yang diberikan, dengan cara itu barulah kita dapat berikan lakonan yang berkesan kepada penonton,” ujarnya.

Drama Lara Aishah sebanyak 100 episod terbitan Global Station Sdn Bhd ini akan bersiaran setiap Isnin - Jumaat bermula 29 Ogos (hari ini), jam 6.00 petang secara eksklusif di Astro Prima (saluran 105) dan siaran serentak di Maya HD (saluran 135).