Penyanyi Nita Hamzah, 38, bakal melangsungkan perkahwinan dengan tunangnya, Mohd Fareez Shamsul Bahari, 30, pada 29 April ini.

"Alhamdulillah, si dia menyuarakan hasrat untuk bernikah pada bulan lalu. Keputusan terus dibuat dan keluarga kami berdua telah bersetuju dengan perancangan tersebut.

“Keluarga kami tumpang gembira dengan keputusan itu memandangkan mereka memang mahu kami lekas bernikah,” kata Nita.

Bertunang pada 13 Ogos tahun lalu, majlis resepsi mungkin akan diadakan pada Ogos tahun ini.

"Tunang saya mahu selesaikan dahulu majlis akad nikah. Jika ada rezeki, Insya-Allah majlis resepsi di pihak lelaki akan dilakukan pada Ogos manakala di pihak saya, akan saya fikirkan kemudian.

"Memandangkan ini adalah akad nikah, saya dan Fareez memilih untuk mengadakannya secara tertutup di kediaman saya di Selayang dan dihadiri oleh keluarga serta teman-teman rapat," katanya lagi.

Sumber: Harian Metro