Produser berpengalaman, Zainuddin Mohd Ismail terpaksa bekerja sebagai pemandu Uber dan membantu di restoran orang lain untuk meneruskan hidup selepas tiada tawaran drama baru diterima syarikat produksinya.

Pemilik syarikat produksi, Enuja Production ini sebelum ini pernah mencatat ‘rating’ tinggi pelbagai drama terbitan produksinya di pelbagai stesen televisyen.

Namun, Zainuddin memberitahu sejak setahun lalu, nasibnya berubah apabila tidak lagi ditawarkan peluang untuk menerbitkan drama atau telefilem untuk mana-mana stesen televisyen.

"Proposal saya ditolak dengan alasan tidak sesuai walaupun saya menghantar banyak cadangan untuk penerbitan telefilem dan drama episod terbaru," katanya kepada Astro Gempak.

Ujarnya, dia turut mengguna khidmat penulis skrip berbeza termasuk berpengalaman yang mempunyai trek rekod dalam karya sebelum ini dan memberi peluang pada penulis skrip baru untuk terlibat sama.

"Bukan calang-calang penulis skrip yang mencuba nasib menerusi ‘proposal’ yang dihantar di bawah produksi saya.

"Macam tak logik apabila semua ‘proposal’ saya ditolak. Saya sendiri tidak tahu apa alasan sebenarnya," katanya.

Jelasnya, situasi getir ini bermula sejak dia menjaga arwah adiknya yang sakit pada tahun lalu.

Buat masa ini, dia masih menggajikan pekerjanya meskipun terpaksa menjual kereta sendiri.

"Saya tiada masalah untuk ikut kehendak stesen televisyen untuk dapat ‘job’. Saya anggap mungkin ini bukan rezeki saya tetapi saya percaya ramai produser lain juga berhadapan masa sukar seperti apa yang saya lalui ketika ini," katanya.

Enuja Production sebelum ini banyak menerbitkan pelbagai telefilem yang mendapat rating tinggi antaranya Transit Terakhir (2017) yang mencatat 2.5 juta penonton.

Teks oleh: Elrafaei Sapi

Foto: Facebook - Zainuddin Hj Mohd Ismail