Selepas sukses dengan kolaborasi dengan Syamel menerusi lagu Aku Cinta, Ernie Zakri menyimpan impian untuk berkerjasama dengan penyanyi wanita.

“Saya menyimpan angan-angan untuk berkolaborasi dengan ramai penyanyi wanita hebat di Malaysia. Salah satunya adalah Ratu Irama Malaysia, Noraniza Idris.

“Saya teringin untuk berduet dengannya menerusi sebuah lagu etnik kreatif. Saya memang menanam harapan untuk menghasilkan sebuah karya ‘tribute’ khas buat Noraniza,” kata Ernie.

Mahu mengekalkan momentum untuk menyanyikan lagu duet bersama Syamel, buat masa ini Ernie mahu fokus terhadap single sendiri terlebih dahulu.

“Saya muncul dengan single berjudul Misteri, begitu juga Syamel yang telah pun muncul dengan single solo sendiri. Orang memang mengenali kami sebagai pasangan duet semenjak menjuarai program Duo Star.


“Jika diberikan kesempatan, memang saya mahu mengekalkan jenama tersebut. Selagi mendapat respon dan maklum balas positif peminat, selagi itu saya tidak akan hampakan mereka,” katanya lagi.

Dalam perkembangan lain, Ernie sedang giat mempromosikan single terbarunya, Misteri hasil ciptaan sepenuhnya oleh Gouffran dan Sang Hitam.

Teks oleh: Kamaruddin Razal
Foto: Instagram Ernie / Google