Naib juara Gegar Vaganza musim keempat Liza Hanim bersyukur apabila dapat menunaikan hajat ibu mertuanya untuk menunaikan umrah tercapai pada tahun ini.

Menurut Liza, pengelaman ketika menunaikan umrah bersama suami, Mohd Shahrin Mohd Samsudin, ibu mertua dan anak saudaranya merupakan sesuatu yang indah dalam dirinya.

"Alhamdulillah, saya bersyukur kerana diberikan peluang untuk menunaikan umrah buat kali kedua kerana sebelum ini saya pergi ke Mekah ketika umur 13 tahun.

"Ternyata tujuan kami ke sana adalah untuk melakukan ibadah dan menunaikan nazar dibuat ibu mertua selepas kesihatannya yang terjejas tahun lalu kembali pulih.

"Segalanya dipermudahkan dan saya bersyukur semuanya berjalan lancar untuknya melakukan ibadah umrah dengan sempurna.

"Pengalaman ketika berada di sana sukar untuk diceritakan kerana semuanya indah dan hanya Allah sahaja yang tahu nikmatnya berada di sana," katanya kepada Astro Gempak.

Liza Hanim berkata demikian ketika ditemui pada sidang media Sepetang Bersama Bonda Ratuku, di Hotel Premiera, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Persembahan istimewa bersempena sambutan Hari Ibu itu akan menggandingkan Liza Hanim dan Safura selain Fauziah Ahmad Daud sebagai pengacara.

Sepetang Bersama Bonda Ratuku akan berlangsung pada 1 Mei depan bertempat di Hotel Premiera, Kuala Lumpur bermula pukul 2.30 petang.

Tiket bagi menyaksikan persembahan itu dijual pada harga RM10,000 (Pakej Korporat), RM5,000 (Pakej Bonda) dan RM150 (Individu) serta RM80 (Kanak-Kanak).

Untuk pertanyaan lanjut mengenai pembelian tiket boleh menghubungi 019-2975260 (Samirah) atau 016-3787863 (Cik Emyllia).