Filem arahan Dain Said ini berjaya mencetuskan fenomena dalam kalangan penonton yang sudah lama menanti untuk menonton filem ini di pawagam.

Ada penonton berpandangan filem lakonan utama Datin Paduka Umie Aida sebagai Diana Dahlan bukanlah cerita seram sebaliknya lebih kepada genre supernatural thriller.

Bagi yang sudah menonton, masing-masing mempunyai pandangan tersendiri mengenai penyampaian filem ini yang mencatat sejarah baru dalam perfileman tanah air dengan kutipan RM6.2 juta dalam tempoh 4 hari tayangan.

Namun, bagi yang belum menonton pastinya tertanya-tanya apakah filem ini sangat menghiburkan atau boleh ditonton mereka yang lemah semangat?

Menurut filem review dari tontonfilem.blogspot.sg menghuraikan filem ini sebenarnya amat mudah diikuti bukan saja merujuk filem detektif, perjalanan cerita dan intrig mahkamah tetapi menjadi analogi tentang dunia dan manusia yang membuat pilihan terhadap jalan yang salah dan lurus.

"Kekuatan filem ini jelas-jelas diangkat oleh pelakon utamanya. Umie Aida ialah satu keajaiban, suatu ‘force of power’. Kita tidak mampu tidak menoleh daripada sosoknya, dan kadangkala gerun akan kuasa yang dipegangnya," katanya.

Ujarnya, wujud elemen seperti kuasa pengaruh, karisma dan keyakinan yang selalunya wujud pada tokoh pemimpin turut ada pada personaliti Umie sebagai Diana.

"Pada satu babak yang sangat subtle kita dapat lihat bagaimana Karim jatuh di bawah telunjuknya lalu menjadi pesuruhnya tanpa dia sedari!) bukan sahaja dengan ilmu yang dia ada, tetapi kuasa seksualitinya, sesuatu yang ingin sangat dimiliki oleh Dato' Jeffri (Adlin Aman Ramlie)," katanya.

Menariknya, lakonan Umie kali ini mencetuskan fenomena dengan rentak, luah dan lengkuk nuansa seksual yang berada pada kelas tersendiri.

Apabila Diana menyatakan syarat kepada Dato' Jeffri untuk memiliki Tongkat Batak yang dipercayai berkuasa dalam memberi kekebalan dan pengasih, filem ini juga membayangkan adegan pemandu ahli perniagaan itu melihat majikan bersetubuh dengan Diana.

"Jika kita teliti betul-betul, ruang mahkamah, ruang lobi mahkamah, ruang dewan nyanyian Diana, semuanya berbentuk semacam empat segi berkotak-kotak tanpa tiang (ya, di dalam ruang tempat Diana melakukan kerja hitamnya)," katanya.

Kesimpulannya, filem ini dinilai jauh lebih tinggi tempatnya daripada filem seangkatan yang membawa genre seram seperti Mantra dan Niyang Rapik. Ia adalah filem ngeri untuk diraikan.

Teks oleh: Elrafaei Sapi