Walaupun kemenangan trofi utama Top Top MeleTOP Lelaki, Anugerah MeleTOP Era (AME2018) berpihak pada penyanyi Khai Bahar, kedudukan itu sebenarnya dicabar rapat oleh cucu penyanyi nombor satu negara, Arif Jiwa Asyraf.

Perkara itu didedahkan sendiri oleh Penolong Naib Presiden Segmen Kanak-Kanak & Remaja, Marissa Hanafi.

Kata Marissa, Arif Jiwa Asyraf antara calon Top 5 AME2018 yang mendapat undian tertinggi selain Khai.

"Expect the unexpected! Sesiapa sahaja boleh menang dalam AME tak kira latar belakang atau peringkat usia.

"Kami akan rahsiakan jumlah undian semua calon Top 5 AME2018, namun Khai Bahar dan Arif Jiwa Asyraf masing-masing bersaing untuk trofi utama iaitu Top Top MeleTOP Lelaki.

"Manakala, kedudukan Top Top MeleTOP Wanita milik Neelofa sebenarnya dicabar oleh pelakon baru Farah Nabilah," katanya kepada Astro Gempak.

Khai Bahar dan Neelofa masing-masing mengungguli AME2018 dengan kemenangan anugerah utama Top Top MeleTOP Lelaki dan Wanita.

Khai antara lainnya turut memenangi anugerah Penyanyi MeleTOP dan Lagu MeleTOP (Bayang).

Neelofa pula menggondol dua anugerah lain iaitu Fesyen MeleTOP dan Pelakon TV MeleTOP.
Malah, drama lakonannya Red Velvet turut dinobatkan sebagai Drama MeleTOP AME2018.

Teks oleh: Amri Hassan