Penyanyi popular, Mawi yang kini sibuk dalam proses suntingan filem pertamanya menyatakan kebimbangan terhadap nasib filemnya itu jika menjadi mangsa keadaan ketika ditayangkan kelak.

Pandangan Mawi itu dikongsi selepas melihat isu antara filem Qhaliq dan Dukun yang bertembung tarikh tayangan sama sehingga salah satu daripada mereka menarik diri.

Penyampai radio Zayan ini memberitahu, isu pertembungan filem tempatan pada satu masa perlu diselesaikan dengan bijak agar tiada sesiapa yang menjadi mangsa.

"Jawatankuasa Skim Wajib Tayang sudah tentu mempunyai justifikasi sendiri dalam menentu tarik tayangan dan jumlah pawagam yang diterima filem terbabit.

"Namun, dalam menyelesaikan isu ini agar tidak berlarutan ada baiknya cadangan mewujudkan pawagam komuniti yang pernah disuarakan sebelum ini dijadikan satu kenyataan," katanya kepada Astro Gempak.

Mengulas lanjut kenyataan Ahmad Idham Ahmad Nadzri sebelum ini terhadap jawatankuasa Skim Wajib Tayang didakwa wujud konspirasi dalaman, Mawi bagaimanapun mahu isu ini diselesaikan segera dan diperjelaskan oleh Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS).

"Sebagai produser dan pengarah filem baru, saya juga bimbang nasib filem sendiri apabila ditayangkan kelak.

"Mungkin menerusi pawagam komuniti ini, nasib filem tempatan lebih terbela dan penonton juga dapat menonton filem tempatan pada harga istimewa.

"Saya sendiri baru berjinak membuat filem dan masih belajar cara memasarkan filem. Rasanya sudah tiba untuk industri filem tempatan mempunyai pawagam komuniti untuk memberi keutamaan tayangan pada filem tempatan," katanya.

Teks oleh: Elrafaei Sapi