Pelakon dan pengacara popular Neelofa mengakui aktres cantik, Nur Fazura merupakan pencabar utamanya dalam Anugerah Meletop Era (AME2018).

Selain Fazura kata Neelofa, dia melihat Farah Nabilah juga antara bintang muda yang memberikan saingan sengit buatnya.

"Memang inilah realitinya dan saya yakin semua akan bersetuju dengan apa yang saya rasa.

"Fazura bukan nama asing dalam industri ini, dengan pelbagai anugerah yang dimenanginya dan malam ini terbukti sekali lagi, jadi bukan sesuatu yang mustahil untuk dia memenangi trofi utama.

"Selain Fazura, Farah Nabilah juga mempunyai kelebihan daripada undian dan bakatnya yang semakin mendapat perhatian," katanya kepada Astro Gempak.

Neelofa dinobatkan sebagai pemenang trofi utama Top Top MeleTOP (wanita) selain anugerah Fesyen MeleTOP dan Pelakon Televisyen MeleTOP.

Manakala, Fazura diumumkan sebagai pemenang anugerah Bintang Filem MeleTOP dan Farah Nabilah pula pertama kalinya dianugerahkan Artis Baharu MeleTOP.

Teks oleh: Amri Hassan