Naib juara Gegar Vaganza musim keempat Liza Hanim mengakui terkejut dengan sikap netizen zaman sekarang yang berani meluahkan segalanya di media sosial.

Menurut Liza, perkara itu merupakan kelainan yang ada pada peminat selepas dia mengambil keputusan untuk kembali aktif memeriahkan industri seni semula.

"Dulu peminat mungkin sukar untuk meluahkan apa yang mereka rasa kepada artis kerana pada zaman itu tidak ramai yang mempunyai akaun media sosial.

"Tetapi zaman sekarang netizen amat mengejutkan kerana mereka mudah untuk menyuarakan pendapat dan mengkritik sesorang astis itu.

"Ada kalanya kata-kata mereka itu memang agak menyakitkan hati tetapi saya ambil pendekatan untuk malas nak layan.

"Cuma sekarang saya terkejut dengan trend yang ada pada zaman sekarang ini kerana ada sahaja yang ingin mereka katakan jika seseorang artis melakukan sesuatu perkara tidak kira baik ataupun buruk," katanya kepada Astro Gempak.

Liza Hanim berkata demikian ketika ditemui pada sidang media Sepetang Bersama Bonda Ratuku, di Hotel Premiera, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Persembahan istimewa bersempena sambutan Hari Ibu itu akan menggandingkan Liza Hanim dan Safura selain Fauziah Ahmad Daud sebagai pengacara.

Sepetang Bersama Bonda Ratuku akan berlangsung pada 1 Mei depan bertempat di Hotel Premiera, Kuala Lumpur bermula pukul 2.30 petang.

Tiket bagi menyaksikan persembahan itu dijual pada harga RM10,000 (Pakej Korporat), RM5,000 (Pakej Bonda) dan RM150 (Individu) serta RM80 (Kanak-Kanak).

Untuk pertanyaan lanjut mengenai pembelian tiket boleh menghubungi 019-2975260 (Samirah) atau 016-3787863 (Cik Emyllia).