Pelakon dan pengacaran Sherry Alhadad mengakui mempunyai alasan tersendiri mengamalkan gaya hidup sihat dan mengawal berat badan sejak Januari lalu.

Menurut Sherry, dia berjaya kurangkan berat badannya sebanyak 11 kilogram (kg) hasil senaman konsisten yang dilakukan serta menjaga pemakanan.

"Alhamdulillah, sejak mengamalkan senaman sejak awal tahun lalu saya berjaya kurangkan berat badan sediki demi sedikit.

"Saya lakukan semua ini bukan untuk kelihatan cantik tapi saya mahu sihat kerana risau sekiranya berat badan masih begini mungkin mudah untuk saya mendapat pelbagai penyakit.

"Saya sedar, bukan mudah untuk melakukan semua ini namun hasil bantuan jurulatih peribadi, berat saya kini adalah 108 kg.

"Target saya sekarang ini mahu mengurangkan berat sehingga 100 kg dan saya tidak mahu menurunkan berat secara drastik tapi biarlah proses itu dilakukan dengan cara yang betul," katanya kepada Astro Gempak.

Sherry berkata demikian ketika ditemui pada majlis ramah mesra bersama peminat di Butik Asyikin Exclusive di Setapak Central Mall, Kuala Lumpur, pada Sabtu.

Tambah Sherry, meskipun sibuk dengan kerjaya, dia akan mencari masa untuk bersenam tiga kali seminggu selama sejam.