Berita gembira buat masyarakat di Arab Saudi khususnya golongan muda apabila mereka berpeluang menonton filem di pawagam bermula 18 April ini.

Hasrat membuka pawagam itu menjadi kenyataan selepas Menteri Kebudayaan dan Komunikasi negara itu, Dr Awwad Al-Awwad mengeluarkan lesen penyiaran kepada AMC Entertainment Holdings yang bertanggungjawab menjalankan operasi pawagam berkenaan.

Pawagam pertama itu akan dibuka di Riyadh dan dijangka sebanyak 40 pawagam lagi akan diwujudkan dalam tempoh lima tahun.

Dr Awwad berkata, lesen itu menyediakan peluang pelaburan penting untuk operasi pawagam.

"Pasaran Arab Saudi cukup besar dan majoriti masyarakat berusia di bawah 30 tahun yang berkeinginan menonton filem kegemaran mereka di pawagam tempatan," katanya.

Di sebalik sebagai medium hiburan, pembukaan pawagam di negara itu juga membantu dalam menjana ekonomi tempatan dan mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan.

Menariknya, Arab Saudi mempunyai populasi melebihi 32 juta yang mana majoritinya adalah golongan muda berusia 30 tahun ke bawah yang menjadi penonton sasaran.

Sebagai perancangan jangka panjang, sebanyak 350 pawagam dijangka akan dibina menjelang tahun 2030.

Arab Saudi pernah mempunyai pawagam pada tahun 1970-an sebelum ia ditutup.

Berbanding halangan yang dikenakan kerajaan Arab Saudi sebelum ini terhadap kewujudan pawagam, kali ini kerajaan mereka pula mahu rakyat negara itu berbelanja untuk hiburan dan pelancongan.

Teks oleh: Elrafaei Sapi

Sumber: Saudi Gazette dan The News Minute