Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Razak telah mengumumkan tarikh pembubaran parlimen iaitu pada 7 April 2018.

Beliau juga memuat naik kenyataan tersebut menerusi akaun Facebook rasminya, Najib Razak sebentar tadi.

Menurut Perdana Menteri, beliau telah pun mengadap Yang Di-Pertuan Agong XV Sultan Muhammad V pada pagi Jumaat bagi mendapat perkenan membubarkan parlimen bagi memberi laluan kepada proses PRU-14 dilakukan.

“Bismillahirahmanirrahim. Saya telah menghadap Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan atas perkenan Baginda, Parlimen ke-13 akan dibubarkan berkuatkuasa esok.

“Oleh itu, saya menasihatkan Menteri Besar dan Ketua Menteri menghadap Ketua-ketua Negeri masing-masing untuk perkenan membubarkan Dewan Undangan Negeri juga supaya Pilihan Raya Umum dapat dijalankan serentak di seluruh negara.

“Sesungguhnya banyak yang telah kita capai sepanjang lima tahun sejak kali terakhir rakyat Malaysia memberikan kepercayaan kepada saya dan Barisan Nasional, dan Alhamdulillah, kita kini di ambang menjadi negara maju yang kita impikan.

“Tetapi perjalanan kita belum berakhir, banyak yang perlu dilaksanakan lagi agar tercapai impian kita. Saya sekali lagi meminta rakyat Malaysia untuk terus memberi kepercayaan kepada saya dan Barisan Nasional.

“Insya-Allah, dengan izin Allah jua, bersama, kita #HebatkanNegaraku,”
tulisnya.



Untuk perkembangan lain, jangan lupa untuk menyaksikan Astro Awani (Saluran 501) untuk mengetahui berita terkini mengenai Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Sumber/ Foto: Facebook Rasmi Najib Razak

Teks oleh: Mya Amri