Produser dan pengarah filem terkenal, Ahmad Idham Ahmad Nadzri mendakwa wujud konspirasi dalam jawatankuasa Skim Wajib Tayang yang bertanggungjawab menentukan jumlah pawagam filem sebelum ditayangkan.

Isu itu dibangkitkannya selepas filem terbaru, Qhaliq hanya mendapat tayangan sebanyak 38 pawagam dibandingkan filem tempatan lain seperti Dukun yang ditayangkan di 130 pawagam.

"Persoalan mengenai ketulusan skim ini dalam menentukan jumlah pawagan yang sepatutnya diterima setiap filem tempatan memang nampak berbeza," katanya kepada Astro Gempak.

Ahmad Idham hadir bersama beberapa orang pegawai atasan Jabatan Bomba dan Penyelamat dalam satu sidang media khas mengenai pengangguhan filem Qhaliq di Kuala Lumpur, hari ini.



Dalam mencari jalan penyelesaian pada isu penentuan jumlah pawagam ini, Ahmad Idham mencadangkan agar Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS) mewujudkan satu panel bebas untuk menyiasat jawatankuasa skim ini.

"Saya memohon pada Ketua Pengarah FINAS agar mewujudkan panel bebas ini untuk menjalankan siasatan. Jika dakwaan saya ini salah, biar panel ini yang menilai tapi jangan terkejut jika perkara ini benar berlaku," katanya.

Bagi memastikan siasatan ini dijalankan secara menyeluruh, Ahmad Idham juga meminta perkara ini mendapat perhatian Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Pada sidang media itu, Ahmad Idham menjelaskan situasi sebenar filem Qhaliq tarik diri daripada tayangannya hari ini (5 April) bukan faktor takut bersaing dengan Dukun.

"Wujud filem Qhaliq bersama Jabatan Bomba dan Penyelamat dalam kempen kesedaran dan komuniti bomba. Kita tidak mahu ada agenda yang menunjukkan filem ini terkesan pada kempen yang mahu dijalankan.

"Kita sedia maklum bahawa apabila dua filem Melayu ditayangkan serentak, salah satu akan rugi atau keduanya rugi ataupun kemampuan penonton menonton dua filem Melayu pada satu masa sudah terbukti sebelum ini tidak berlaku," katanya.

Ujarnya, atas perbincangan produser filem ini dengan pihak Bomba, filem ini tidak mahu merosakkan agenda bomba dan mencari satu tarikh baru untuk ditayangkan kelak.

Teks oleh: Elrafaei Sapi