Pelakon Yana Samsudin berhabis kira-kira RM20,000 untuk kaedah permanian antara rahim (IUI) dalam usaha untuk mendapatkan anak kedua.

Yana, 33, bagaimanapun mendedahkan ketiga-tiga kali percubaan melalui kaedah itu gagal.

"Saya sudah tiga kali mencuba kaedah IUI (Intrauterine Insemination) sejak Disember 2017 hingga Mac lalu namun semua usaha itu tidak membuahkan hasil.

"Doktor menasihatkan saya untuk lebih banyak berehat dan kurangkan pergerakan jika ingin membuat rawatan selanjutnya selepas ini," katanya kepada Astro Gempak.

Yana ditemui pada majlis pelancaran pertandingan video pendek #SmartShorties2018 di SACC Shah Alam, Selangor hari ini.

Dalam pada itu tambah Yana dia tidak merasakan duit yang dilaburkan untuk melakukan kaedah itu satu kerugian.

"Saya tak rasa rugi pun, yang penting kita usaha. Mungkin belum masanya untuk saya mendapat cahaya mata lagi," kata Yana lagi.

Yana dan Fadzil telah mendirikan rumah tangga pada 2015 dan dikurniakan seorang cahaya mata, Aisy Mateen, 2 tahun.

Dalam perkembangan lain, Yana yang dilantik menjadi juri pertandingan video pendek #SmartShorties2018 bakal membintangi sebuah telefilem berjudul Lamaran Perfect bergandingan dengan Eidil Putra untuk tayangan Astro Ria tidak lama lagi.

Teks oleh: Amri Hassan