Penyanyi dan pelakon Elyana mengalami kejadian yang tak diduga sebelum menghadiri majlis tayangan filem Dukun yang berlangsung di TGV KLCC semalam.

Elyana atau nama sebenarnya, Erneelya Elyana Emrizal, 31, tidak menjumpai bangunan KLCC dan 'sesat' hampir setengah jam.

"Saya tak tahulah kejadian ini ada kaitan dengan sesuatu yang misteri atau tidak. Tapi saya dan suami tidak menjumpai bangunan KLCC.

"Ini sesuatu yang agak pelik kerana kami seakan berlegar-legar di jalan yang sama. Kami juga telah menggunakan perkhidmatan Waze namun tidak juga berjumpa dengan KLCC.

"Kami sendiri tak faham kenapa kami sesat kerana KLCC merupakan destinasi yang selalu kami kunjungi," kata Elyana.

Selepas hampir 12 tahun diperam, akhirnya Elyana dapat menyaksikan filem kedua lakonannya yang dibintangi pada usia 19 tahun.

"Perasaan itu bercampur baur. Ada gembira, ada terkejut, ada juga gementar. Ini merupakan kali pertama saya menyaksikan filem ini.

"Akhirnya filem ini dapat ditayangkan dan saya berharap ia dapat menjadi ubat kerinduan kepada peminat yang mahu menyaksikan lakonan saya," katanya lagi.


Selain Elyana, filem arahan Dain Said yang menampilkan Datin Seri Umie Aida sebagai tunjang utama ini turut dibintangi oleh pelakon hebat lain seperti Faizal Hussien, Namron, Bront Palarea, Soffi Jikan dan Hasnul Rahmat.

Buat semua peminat filem tempatan yang ingin tahu kesudahannya, jangan lupa saksikan keseluruhan filem Dukun di pawagam bermula hari ini dalam versi siaran yang lebih baik serta sistem bunyi yang berkualiti!

Teks oleh: Kamaruddin Razal