Sebuah syarikat penerbitan popular tempatan memberikan bayangan bakal menerbitkan sebuah buku yang menggunakan gambar dan nama yang mirip pelakon sensasi, Uqasha Senrose.

Khabar itu dimaklumkan oleh syarikat berkenaan menerusi akaun Twitter mereka kelmarin.

"Apa bezanya Uqasha di kampus dan Uqasha di luar kampus. Akan datang," tulis syarikat penerbitan berkenaan.

Bagaimanapun, informasi tersebut telah menarik minat Uqasha sendiri untuk mendapatkan kesahihan hak cipta gambar dan penggunaan nama 'Uqasha' untuk buku berkenaan.

"Boleh ke keluarkan cerita nama macam saya dan muka pun muka saya? Boleh tak siapa-siapa bagitahu?" soal Uqasha membalas entri terbabit.

Sejurus kemudian, syarikat penerbitan itu mengeluarkan kenyataan rasmi bagi menjawab soalan yang dikemukakan Uqasha.

"Hak cipta terpelihara. Tidak dibenarkan sama sekali menerbitkan semula mana-mana bahagian daripada buku ini dalam apa saja bentuk dan dengan apa-apa cara sekalipun sama ada secara elektronik, fotokopi, mekanik, rakaman atau cara-cara lain sebelum mendapat keizinan bertulis daripada penerbit.

"Kandungan dalam buku ini tiada kaitan dengan mereka yang masih hidup mahu pun sudah mati. Sebarang persamaan hanyalah kebetulan semata-mata," maklum syarikat itu.

Netizen yang prihatin akan hak Uqasha bertanyakan sekiranya syarikat itu telah mendapat keizinannya untuk menggunakan gambar dan namanya untuk produk terbaharu mereka.

"Sesungguhnya saya tidak tahu menahu. Jual nama dan muka buku pasal saya," kata Uqasha.

Buku berkenaan secara umumnya langsung tidak menyentuh jalan cerita sebenar hidup pelakon itu sebaliknya secara kebetulan watak utama buku tersebut menggunakan nama serupa, Uqasha.



Bagaimanapun, netizen masih terus berbalah hingga ada yang menyifatkan Uqasha perasan popular.

"Saya sudah baca Uqasha 1 & 2 tak pernah pula terbayang muka awak. Lagipun, masa itu awak tak adalah popular mana. Ewww!" tulis salah seorang pengguna.

Teks oleh: Amri Hassan
Sumber: Twitter @uqashasen