Pelakon baru, Fahad Iman bersyukur namanya semakin dikenali selepas hampir tiga tahun melibatkan diri dalam dunia lakonan.

Mula terjun dalam bidang hiburan bermula dengan drama bersiri Isteri vs Tunang, nama Fahad kini semakin dikenali oleh peminat.

"Alhamdulillah, saya bersyukur melihat perkembangan kerjaya saya sebagai pelakon. Biarpun tidak terkenal seperti rakan seangkatan lain, nama saya semakin dikenali.

"Tawaran kerja juga tidak pernah berhenti semenjak saya melibatkan diri dalam industri. Apa yang penting, saya harus mempertingkatkan usaha dan menambahkan kualiti dalam bidang lakonan," kata Fahad.

Tambah pelakon drama bersiri Suri Hati Mr. Pilot ini, dia menceburi bidang hiburan bukan untuk populariti semata-mata.

"Saya bukan mahu kejar popular atau glamour. Saya menjadi pelakon kerana saya memang meminati bidang ini dan saya sendiri merupakan pelajar dalam jurusan seni persembahan.

"Bagi saya, populariti seseorang pelakon itu adalah satu bonus dan menjadi terkenal kerana bakat lakonan adalah satu perkara yang manis," katanya lagi.

Dalam perkembangan terbaru, Fahad bakal muncul dengan drama bersiri online terbaru, 3 Gadis Manis musim kedua.

3 Gadis Manis musim kedua merupakan karya digital kompak terbitan portal Gempak menerusi segmen Gempak Original Series dan menampilkan bintang-bintang lain seperti Hannag Delisha, Yaya Zahir, Dee Alhadi dan Aedy Ashraf.

Diarahkan oleh Junad M.Nor dan dibantu oleh Nadirah Zakariya, 3 Gadis Manis musim kedua yang ditaja oleh Nivea akan bersiaran sebanyak tujuh episod menerusi platform digital di www.3gadismanis.com.my dan aplikasi Gempak bermula 9 April ini.

Teks oleh: Kamaruddin Razal