Pelakon dan penyanyi Safura berharap ibunya, Nariah Materudi, 75, yang kini masih dirawat di Unit Penjagaan Kritikal (CCU) Hospital Selayang kembali sembuh.

Menurut Safura, ibunya dimasukkan ke hospital sejak seminggu yang lalu akibat mengalami masalah penyakit diabetis dan paru-paru berair.

"Ibu telah dimasukkan ke hospital sejak minggu lepas dan keadaannya kini masih kritikal.

"Saya berharap agar ibu segera sembuh dan pulih sepenuhnya daripada masalah penyakit yang dihadapi.

"Ini kerana saya berhasrat mahu ibu untuk hadir pada persembahan nyanyian istimewa saya sempena sambutan Hari Ibu pada 1 Mei ini di Kuala Lumpur.

"Ibu juga telah lama menyimpan hasrat ingin menonton saya menyanyi atas pentas kerana katanya rindu untuk lihat saya melakukan persembahan.

"Saya berdoa agar kesihatannya kembali pulih dan dia dapat hadir ke persembahan saya itu nanti kerana saya mahu menghiburkan ibu sendiri sempena Hari Ibu," katanya kepada Astro Gempak.

Safura berkata demikian ketika ditemui pada sidang media Sepetang Bersama Bonda Ratuku, di Hotel Premiera, Kuala Lumpur, pada Selasa.

Persembahan istimewa bersempena sambutan Hari Ibu itu akan menggandingkan Safura dan Liza Hanim selain Fauziah Ahmad Daud sebagai pengacara.

Sepetang Bersama Bonda Ratuku akan berlangsung pada 1 Mei depan bertempat di Hotel Premiera, Kuala Lumpur bermula pukul 2.30 petang.

Tiket bagi menyaksikan persembahan itu dijual pada harga RM10,000 (Pakej Korporat), RM5,000 (Pakej Bonda) dan RM150 (Individu) serta RM80 (Kanak-Kanak).

Untuk pertanyaan lanjut mengenai pembelian tiket boleh menghubungi 019-2975260 (Samirah) atau 016-3787863 (Cik Emyllia).