Naib juara Gegar Vaganza musim keempat Liza Hanim mengakui tidak mempunyai masalah untuk bertemu peminatnya termasuk di pusat beli-belah walaupun dia merupakan seorang penyanyi popular.

Menurut Liza, dia lebih selesa untuk bertemu peminatnya di tempat itu kerana ia lebih santai dan mudah untuk berkomunikasi bersama-sama.

"Alhamdulillah, sejak bergelar anak seni sejak dulu lagi saya tidak memilih tempat-tempat tertentu untuk bertemu dengan peminat.

"Bagi saya pusat beli-belah adalah tempat terbaik untuk artis turun padang bertemu dengan peminat secara lebih dekat lagi memandangkan lokasi itu sering dikunjungi oleh orang ramai.

"Buat apa hendak malu? Bagi saya tempat itu telah menjadi pilihan sejak dulu lagi untuk artis-artis beramah mesra dengan peminat.

"Perkara yang dilakukan ini adalah salah satu cara untuk menghargai peminat yang sentiasa menyokong kerjaya seni saya dan tidak salah untuk saya turut turun ke pusat beli-belah berjumpa mereka," katanya kepada Astro Gempak.

Liza Hanim berkata demikian ketika ditemui pada sidang media Sepetang Bersama Bonda Ratuku, di Hotel Premiera, Kuala Lumpur, pada Selasa.

Persembahan istimewa bersempena sambutan Hari Ibu itu akan menggandingkan Liza Hanim dan Safura selain Fauziah Ahmad Daud sebagai pengacara.

Sepetang Bersama Bonda Ratuku akan berlangsung pada 1 Mei depan bertempat di Hotel Premiera, Kuala Lumpur bermula pukul 2.30 petang.

Tiket bagi menyaksikan persembahan itu dijual pada harga RM10,000 (Pakej Korporat), RM5,000 (Pakej Bonda) dan RM150 (Individu) serta RM80 (Kanak-Kanak).

Untuk pertanyaan lanjut mengenai pembelian tiket boleh menghubungi 019-2975260 (Samirah) atau 016-3787863 (Cik Emyllia).