Masih ingat ayat 'ada nampak Mummy happy' yang dituturkan Mas Idayu ketika menjurikan Baby Shima dalam D'Academy Asia sekitar November tahun lalu?

Detik viral itu kini kembali menjadi buah mulut netizen apabila Mas Idayu dijemput menjadi juri untuk rancangan Ceria Megastar minggu lalu.

Ketika Mas Idayu ingin memberikan komen kritis kepada peserta remaja Chubb-E, secara tidak sengaja penyanyi lagu Robek Hatiku itu mengulangi ayat 'ada nampak Mummy happy' dengan nada serius.

Johan yang ingin meneutralkan keadaan muncul ke pentas dengan menyelitkan bunga ros di telinga kirinya.

"Kak Ros!" jerit Datuk Aznil Nawawi sambil ketawa terbahak-bahak.

Jawab Johan mengulangi situasi sama ketika D'Academy Asia: "Abang Ros, saya lagi mahu tenangkan dia."

"Itu yang jadi viral, sebab ini yang pakai bunga ni. Kak Ros! Eh Kak Ros pula," jerit Mas Idayu tersasul sambil mengawal untuk tidak ketawa.


Situasi melucukan itu membuatkan seluruh auditorium ketawa dengan keletah juri yang hilang fokus untuk mengadili peserta tersebut.

Chubb-e yang menyanyikan lagu Goyang Dumang (Cita Citata) dalam versi moden diselitkan dengan rap bagaimanapun mendapat pujian Mas Idayu ketika itu.

November tahun lalu peserta D'Academy Asia, Baby Shima yang mewakili Malaysia dimarahi teruk oleh Mas Idayu hingga kata-kata 'ada nampak Mummy happy' menjadi trending di media sosial.

Apapun, bagi yang terlepas menyaksikan Ceria Megastar anda boleh saksikan semula rancangan itu di YouTube Astro Ceria.

Video itu sehingga kini menduduki tangga keempat trending YouTube sejak bersiaran pada 30 Mac lalu.

Ceria Megastar bersiaran pada setiap hari Jumaat, pukul 9 malam di Astro Ceria (611), Astro Prima (105), Astro Maya HD (135) dan di platform digital, Astro GO.

Teks oleh: Amri Hassan
Sumber: YouTube Astro Ceria