"Saya selalu berdoa supaya mati dalam keadaan beriman, bukan ketika sibuk mengejar harta dunia," demikian doa Datuk Seri Aliff Syukri sempena ulang tahun kelahirannya ke-31 hari ini.

Aliff yang ditemui di kediaman mewahnya di Kota Damansara hari ini memanjatkan rasa syukur atas nikmat yang dikurniakan sehingga kini.

"Alhamdulillah, pada usia 31 tahun, saya sudah kecapi semuanya. Saya berharap kehidupan saya sentiasa mendapat rahmat Allah," tambahnya.

Bagaimanapun, Aliff mahu kejayaan yang dicapainya menjadi inspirasi terutama golongan muda yang baru bertapak dalam dunia perniagaan.

"Saya sekeluarga pernah menetap di rumah setinggan di Klang, suatu ketika dulu dan selalu memasang impian mahu memiliki banglo dan impian itu dipenuhi ketika usia 24 tahun.

"Selepas itu, saya dikurniakan gelaran Datuk dan dalam masa sama saya menyimpan impian mahu memiliki kediaman seperti istana.

"Saya terus berusaha hingga akhirnya saya mendapat apa yang saya impikan. Jangan menyerah dan teruskan usaha untuk mencapainya," katanya.

Penyanyi Abang Nak Tegur itu berkata, mahligai yang dinamakan Palace Aliff Syukri itu didirikan sejak empat tahun lalu di atas tanah bernilai RM13 juta dan dilengkapi 30 bilik termasuk surau, pawagam mini serta bilik karaoke.

Teks oleh: Amri Hassan