Pelakon Dazrin Kamaruddin mempersoalkan kredibiliti bakat baru yang menjadi pelakon sama ada atas dasar bakat atau sebaliknya.

Memang lumrah dalam bidang hiburan apabila anak seni bersilih ganti diberi peluang untuk membintangi pelbagai filem atau drama.

Begitu juga, Dazrin antara pelakon yang mempunyai pengalaman berlakon sebelum ini juga hairan melihat situasi pelakon baru yang diberi tanggungjawab sebagai pelakon utama tapi gagal berlakon dengan baik.

"Timbul persoalan, apakah kriteria untuk seseorang itu menjadi pelakon.

"Ada bakat baru yang menjadi pelakon utama tetapi tidak boleh pikul tugas dengan baik sebab kurang dari aspek pengalaman dan ilmu," katanya pada Sesi Kluster Bersama Gen Y anjuran Gabungan Persatuan Karyawan Filem Malaysia (GAFIM) di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Ujarnya, apa yang lebih menyedihkan berlaku dalam industri lakonan adalah pelakon berpengalaman yang bertaraf senior hanya diberi watak pelakon pembantu.

"Sebagai cadangan agar diwujudkan standard prosedur operasi (SOP) seperti kolej untuk melatih bakat-bakat baru ini menjadi pelakon yang sebenar.

"Kita tidak mahu bakat baru sekadar gila glamor yang berlakon satu atau dua drama selepas itu hilang entah ke mana.

"Mungkin dapat diwujudkan juga perkampungan artis untuk artis veteran tinggal agar kebajikan mereka lebih terjaga," katanya.

Teks oleh: Elrafaei Sapi

Foto: IG @dazrin88